Wednesday, December 3, 2008

semata kenangan


Hati wanita yang rapuh ini sekali lagi diduga. Si dia yang diharap dapat mengembalikan senyuman dibibir akhirnya bertindak kejam dengan menghancurkan janji yang disemat ketika awal perkenalan dulu. Benar, aku yang terlalu mengikut naluri wanita kononnya. Akhirnya merana sendirian. Dalam perhitunganku, sudah cukup rasanya kasih sayang kuberi. Dirinya ku tatang bagai membawa minyak yang penuh. Namun mungkin terlalu berlebihan sehingga si dia merasa rimas. Atau sebenarnya bukan salah diriku. Si dia yang telah berubah. Manusia memang sejak asal kejadian dari zaman adam lagi, lebih mudah meletakkan kesalahan di bahu orang lain daripada mengaku kesilapan sendiri.
“Sayang”.. sedap ungkapan itu kedengaran ditelingaku ketika si penuturnya membuai perasaanku lembut. Perkataan itu bagiku terlalu indah, terlalu bermakna hinggakan diri dilamun anganan yang kami akan bersama sampai bila-bila. Musnah sekelip mata bila satu pagi aku dikejutkan dengan pesanan diriku kini amatlah dibenci. Walau pesanan itu ringkas tapi tetap memberi kesan yang mendalam pada hatiku yang sekeping ini. Mujur aku tidak berseorangan, sahabat karibku setia disisi menemani walau perangaiku ketika itu bukan seperti insan yang waras akalnya. Deraian airmata setia mengalirkan air yang tidak putus-putus yang aku sendiri tidak tahu dari mana sumber datangnya. Ku larikan diri seketika di tepi pantai yang tidak pernah mengecewakanku bilamana aku memerlukan ketenangan jiwa. Namun kali ini tidak berjaya kerana negeri perantauanku ini terlalu kecil agaknya. Segenap pelusuk telah ku soroti bersama si dia. Walang nasibku kerana saat ini juga aku bakal menghadapi peperiksaan semester akhirku. Mana hendak membaca lagi, mana hendak memujuk hati yang luka. Dalam fikiranku Cuma satu, aku ingin pulang ke rumah. Tak sanggup lagi aku duduk disini. Saat ini juga ku ambil untuk lebih dekat kepada Penciptaku. Aku sedar mungkin inilah balasan kepadaku kerana terlalu leka dengan dunia yang seketika ini.
Akhirnya pulang juga aku ke rumah ku. Seminggu aku bagai orang gila, menelefon si dia setiap saat dengan harapan aku diterima kembali. Apa yang ku dapat Cuma maki hamun sahaja. Tika itu aku masih lagi belum menerima kenyataan ini. Sehingga datang satu saat, seorang insan diutuskan untuk membawa aku keluar daripada lamunan fantasiku ini. Pujukan, nasihat, cerita-cerita lawak dan segar yang dibawakan oleh insan yang seorang ini menjadikan aku kembali waras, aku mula pandai ketawa. Aku tidak lagi tidur ditemani airmata tetapi ditemani suara yang sentiasa tahu dimana kelemahanku untuk gelak. Aku cukup senang dengan perubahan ini. Insan ini yang menemaniku setiap masa, ketika dan saat. Walau dia sendiri sebenarnya sibuk dengan urusannya. Tambah manis bila hari lahirku ditemani insan ini. Dia tidak jemu melayan keletahku walau ketika itu subuh sudah mula menjengah. Sekejap rasanya bila berbual dengannya, ada sahaja dijadikan modal untuk berbicara. Sehinggakan bila aku tidak tahu untuk berbual apa lagi, dia menyanyi untuk ku. Katanya tidak elok dibiarkan suasana sunyi. Saat itu aku mulai merindui dirinya bila dia sunyi tanpa berita. Diriku sentiasa tertanya apakah yang dilakukannya. Dan aku mulai sedar yang aku sudah semakin melupakan orang yang melukaiku itu. tapi walau sejauh mana aku membuang dia dari hidupku, rindu itu kadangkala hadir mengetuk pintu hati mengenang kenangan indah kami dahulu. Semata kenangan.

No comments: