Thursday, December 25, 2008

persembunyian sementara

Tidak terdetik dihatiku untuk membenci dirinya, apatah lagi melupakannya. Dia pasti kekal dalam kenanganku. Dia pasti akan terus hidup dalam ingatanku kerana aku takkan pernah sekalipun mencuba untuk melakukannya. Sememangnya dia insan yang sungguh bertuah kerana entah kenapa. Aku terus-terusan tidak mampu menghilangkannya dari memoriku walau dia hanya masa silamku. Andai saja aku sebuah komputer, pasti dapat ku hapuskan memori pahit itu dengan sekelip mata. Tenyata imaginasiku jauh tersasar kerana walau apa cara jua, aku tetap insan yang khilaf. Rindu membuak-buak didada ku pendam sendirian. Hanya tarian jemariku rancak di muka keyboard ini menarikan lagu sendu dalam senyuman. Aku senang meluahkan perasaan melalui kata-kata dan tulisan. Kiranya lebih mudah dari menuturnya. Malu yang menebal kepada teman bilamana cerita ini aku ceritakan dihalwa telinga mereka.
Temanku sering menasihatkan aku supaya melupakan saja dirinya dan teruskan pencarian cinta hatiku, aku tau mereka menyayangiku. Namun pintu hati ini seakan tertutup untuk mengenali mana-mana insan bergelar lelaki setakat ini. Walau ada yang mendekati, ternyata mereka hanya mempunyai agenda tersendiri dan bukan kerana benar-benar ingin mengenali dan menyayangi diriku seadanya. Tawar dan pedih bercampur sebati menjadikan aku serik untuk mempercayai kata-kata dusta pujangga cinta adam. Namun diriku masih lagi insan biasa yang perlukan sayang dan cinta,seringkali aku berasa sunyi bila melihat merpati terbang seiringan bebas diangkasa raya tersenyum riang.
Cemburuku terbias tatkala melihat si gadis tersenyum gembira melihat telatah teruna. Aku ingin kembalikan memori dan kenangan itu. Bahagia dan bahagia. Akal warasku pantas menafikan semua itu apabila mengenangkan masa yang paling sesuai untukku lakukan kini adalah bercinta dengan bukuku. Tahun akhir yang bakal menentukan masa depanku. Ya, mungkin itu lebih penting dan terbaik buatku fikirkan kini. Biarkan perasaanku itu ku simpan jauh yang teramat jauh di dasar hatiku yang terdalam. Hingga sampai saat yang sesuai akanku keluarkan ia daripada tempat persembunyiannya untuk diserahkan pada “dia” yang terpilih.

No comments: